Tuesday, 1 March 2016

Peat Moss dan Penggunaanya dalam Aktiviti Penanaman


Blog ini diwujudkan di atas kesedaran penulis, yang juga seorang petani, bahawa meskipun sudah terdapat pelbagai maklumat tersedia di alam maya, sebahagian petani kita mempunyai kekangan bahasa untuk memahami dan memanfaatkannya. Juga diharapkan, sumbangan kecil ini dalam menterjemahkan pelbagai artikel dari internet dapat membantu memartabatkan Bahasa Melayu di dalam bidang ilmu pengetahuan.

Sebarang pertanyaan dan sumbangan amat lah dialu-alukan.  

Untuk artikel pertama ini, penulis ingin menarik perhatian pembaca tentang penggunaan Peat Moss di dalam aktiviti tanaman.

Bahan yang dinamakan sebagai peat moss ini selalu digunakan dalam pertanian komersial mahupun hobi. Kebiasaanya di Malaysia, peat moss digunakan sebagai medium awal untuk percambahan biji benih.

Peat moss boleh diterjemahkan sebagai: gambut (peat) dan lumut (moss). Namun untuk mengelakkan kekeliruan, perkataan peat moss akan dikekalkan kerana terma itu lebih sedia maklum dikalangan para petani dan pembekal di Malaysia.

Hasil nukilan dari laman sesawang Gardening Know How dipilih untuk terjemahan kali ini, kerana ianya menyentuh secara menyeluruh berkenaan sumber asal peat moss, kaedah penggunaannya dan kritikan terhadap kesannya kepada alam semula jadi.

...

Apakah itu Peat Moss?

Spruce trees and sphagnum moss on the boreal forest floor, Denali National Park, Alaska
Lumut yang dipanggil Sphagnum Moss ini menghasilkan Peat Moss.

Peat moss adalah satu bahan yang mempunyai kelebihan unik untuk menyerap air secara sekata dan juga mengekang bahan nutrient mengalir keluar dari medium. Sifat peat moss ini telah membantu meningkatkan mutu kaedah tanaman sejak ianya mula digunakan pada pertengahan abad ke-20.

Peat moss terhasil daripada lumut dan bahan organik lain yang telah terkompos di dalam peat bogs (tanah gambut). Terdapat perbezaan dari segi mekanisma pengkomposan diantara peat moss dan bahan kompos yang biasanya dihasilkan sendiri oleh petani. Peat moss adalah hasil penguraian bahan organik terutamanya lumut yang telah mati, tanpa kehadiran udara. Proses ini berlaku dengan perlahan, dan ianya mengambil masa ribuan tahun hanya untuk menhasilkan beberapa milimeter lapisan bahan ini. Oleh kerana itu, peat moss dianggap sebagai satu sumber yang tidak boleh diperbaharui.

(Nota: Kebanyakan media peat moss yang boleh didapati di pasaran Malaysia adalah diimport dari negara-negara Eropah terutamanya Belanda.)

Pengumpulan peat moss untuk aktiviti komersil telah dikritik, kerana walaupun pengekstrakannya telah dihadkan untuk 0.02 persen sahaja daripada tanah rizab seperti di negara Kanada, gerakan seperti International Peat Society telah mengetengahkan kesannya terhadap jumlah karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera, lalu menyumbang kepada isu pemanasan cuaca global (yakni kesan rumah hijau).

Penggunaan Peat Moss

Peat moss digunakan sebagai medium di dalam bekas semaian.

Petani biasanya menggunakan peat moss sebagai media didalam bekas tanaman, atau juga  untuk tujuan penambahbaikan kualiti dan struktur tanah. Peat moss adalah bersifat asid, berbanding baja kompos yang lebih bersifat alkali. Maka pemilihan di antara dua bahan ini boleh disesuaikan dengan sifat pokok yang hendak ditanam. Perbezaan lain yang boleh dipertimbangkan dalam pemilihan dia antara dua media ini; peat moss tidak mengandungi sebarang mikroorganisma berbahaya dan juga benih rumput berbanding baja kompos yang tidak diproses dan dirawat dengan baik.

Di dalam kaedah pertanian moden, peat moss digunakan sebagai medium penting untuk peringkat awal percambahan biji benih tanaman kerana sifatnya yang unik. Bahan ini boleh menyerap air beberapa kali ganda beratnya sendiri. Kelembapan media ini akan memastikan perkembangan akar yang baik kerana mendapat bekalan air yang secukupnya. Selain daripada itu, peat moss sangat efektif dalam mengikat nutrient ke dalam teksturnya, lalu memastikan nutrient yang ada tidak mengalir keluar dari bekas tanaman setiap kali ianya disiram dengan air.

Konklusi

Peat moss mempunyai keunikan yang dapat memberikan kesan positif terhadap perkembangan tanaman. Walaubagaimanapun, kerana kesannya untuk jangka masa panjang terhadap alam sekitar, adalah diharapkan petani menggunakannya secara berhemah dan mengamalkan displin pertanian yang efektif.

Nota kaki:
Struktur artikel diatas adalah hasil terjemahan artikel Peat Moss and Gardening hasil nukilan Jackie Carroll. Terdapat beberapa pengubahsuaian bagi memadankannya dengan konteks petani di Malaysia.

Moga pembaca sekalian mendapat manfaat.